“Zahid Yang Layak Minta Saya Letak Jawatan, Bukan AMK”

Semasa
September 3, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 3 Sep – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak akan melayan desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang menuntut peletakan jawatannya.

Beliau menjelaskan bahawa kedudukannya di agensi tersebut adalah atas kapasiti lantikan rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Yang selayaknya meminta saya meletakkan jawatan ialah Dato’ Seri Zahid yang telah melantik saya. Bukan ikut cakap desakan AMK,” jelas beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Setiausaha Agung UMNO itu turut menangkis keras sebarang percubaan pihak tertentu yang cuba mengaitkan namanya dengan polemik laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Tabung Haji.

“Saya pun tidak pernah dikaitkan dengan isu Tabung Haji, hanya kerana mainan persepsi yang mahu merobohkan reputasi dan imej,” tegas beliau.

Menyentuh mengenai prestasi kepimpinannya, beliau memperincikan komitmen selama tiga tahun menerajui MARA yang memfokuskan kepada aspek pemerkasaan tadbir urus, sistem pendidikan dan pembangunan keusahawanan Melayu.

“Yang paling penting, institusi ini akan terus dipertahankan. Jangan ada usaha-usaha untuk meroboh reputasinya dan usaha-usaha luar yang sengaja mahu melihat institusi orang Melayu ini jatuh.

“Yang paling penting ini adalah amanah. Ini bukan soal Asyraf Wajdi. Ini soal institusi MARA yang merupakan institusi amanah orang Melayu,” katanya.

Kredit foto: Astro Awani, MalaysiaGazette

#BeritaKS

@BeritaKS