WRTS Kids Gym Wujud Ruang Selamat Untuk Ibu Bapa & Anak

Semasa
August 23, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Konsep We Rock the Spectrum (WRTS) Kids Gym bukan hanya memberi ruang selamat untuk kanak-kanak istimewa bermain dan berkembang, malah membina komuniti sokongan dalam kalangan ibu bapa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas WRTS Kids Gym, Dina Kimmel berkata, keperluan mewujudkan ruang inklusif dan mengembangkan konsep berasaskan komuniti tercetus daripada pengalaman peribadinya sebagai seorang ibu kepada anak istimewa.

“Di kawasan permainan kanak-kanak lain, mereka yang mempunyai anak-anak keperluan khas tidak diterima, mereka akan dihalau keluar. Anak saya telah dihalau keluar dari 16 kawasan permainan.

“Jadi saya mengambil inisiatif mewujudkan ruang yang selamat. Selepas enam bulan, saya melihat anak saya tidur dengan lebih lena, makan dengan lebih baik, dan dia mula bercakap, ia umpama satu keajaiban,” katanya.

Katanya, ibu bapa kepada anak ‘neurodivergent’ turut memerlukan rangkaian sokongan kerana hubungan sosial mereka boleh berubah selepas melalui pengalaman tersebut.

“Ia bukan hanya tentang kanak-kanak, tetapi juga ibu bapa. Ibu bapa menjadi sebahagian daripada komuniti kerana kawan-kawan yang anda miliki sebelum mempunyai anak yang istimewa mungkin bukanlah kawan yang sama seperti yang anda miliki sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, pengasas bersama WRTS Kids Gym Malaysia, Nori Abdullah berkata, kemudahan berkenaan terbuka kepada semua kanak-kanak tanpa mengira keupayaan, dengan peralatan yang turut menyokong perkembangan kemahiran dan fizikal.

“Sememangnya kalau kita lihat daripada kajian dan apa yang kita tahu tentang keperluan sensor ini, inisiatif yang dapat dilakukan menggunakan peralatan di sini Insya-Allah memang akan membantu semua kanak-kanak,” katanya.

Sebuah gimnasium khas untuk kanak-kanak daripada pelbagai tahap kebolehan, We Rock The Spectrum Kids Gym kini dibuka secara rasmi di Taman Desa, Kuala Lumpur, khusus untuk membantu keluarga dengan kanak-kanak istimewa dalam proses pembelajaran dan perkembangan mereka.

#BeritaKS

@BeritaKS