WRTS Kids Gym Sedia Ruang Inklusif Semua Kanak-Kanak

Semasa
August 23, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – We Rock The Spectrum (WRTS) Kids Gym Malaysia memberi tumpuan kepada perkembangan menyeluruh kanak-kanak melalui ruang permainan yang inklusif, untuk membantu keluarga dengan kanak-kanak istimewa.

Pemilik bersama WRTS Malaysia, Nori Abdullah berkata, kemudahan yang disediakan menggunakan peralatan yang turut digunakan dalam persekitaran terapi bagi membantu perkembangan kemahiran dan fizikal kanak-kanak.

Menurut beliau, aktiviti menggunakan peralatan di gim berkenaan dapat merangsang aspek seperti sistem vestibular dan proprioseptif yang lazimnya turut diberi perhatian oleh ahli terapi cara kerja (occupational therapist).

Nori berkata, WRTS tidak diwujudkan khusus untuk kanak-kanak autistik atau golongan orang kurang upaya (OKU), sebaliknya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kanak-kanak berhak bermain, belajar dan berkembang dalam persekitaran yang sama.

“Gim ini memang untuk semua kanak-kanak tidak kira keupayaan. Kita mahu kanak-kanak sendiri mendapat peluang untuk bermain bersama-sama, belajar dan mengenali antara satu sama lain.

“Prinsip kita adalah untuk menerima bahawa kita semua adalah insan terlebih dahulu. Setiap kanak-kanak itu adalah seorang manusia, manusia kecil, seorang manusia sebelum apa-apa diagnosis,” tambahnya.

Sebuah gimnasium khas untuk kanak-kanak daripada pelbagai kebolehan, We Rock The Spectrum Kids Gym kini dibuka secara rasmi di Taman Desa, Kuala Lumpur, khusus untuk membantu keluarga dengan kanak-kanak istimewa dalam proses pembelajaran dan perkembangan mereka.

#BeritaKS

@BeritaKS