Wanita PKR Desak 6 MP Bermuka Dua Letak Jawatan

Semasa
May 21, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak enam ahli parlimen parti itu yang menghadiri majlis Bersama Dato’ Seri Rafizi Ramli Ahad lalu supaya melepaskan keanggotaan parti secara sukarela.

Setiausaha Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata tindakan mereka disifatkan sebagai politik ‘dua kolam’ yang boleh menjejaskan kestabilan parti dan mengkhianati kepercayaan anggota akar umbi.

“Sekiranya idealisme dan hala tuju masa depan sudah tidak lagi selari dengan prinsip institusi Presiden dan KPI perjuangan PKR, jalan paling terhormat adalah untuk melepaskan keanggotaan parti secara sukarela dengan serta-merta tanpa perlu terus menjadi duri dalam daging,” katanya.

Beliau berkata PKR tidak dibina sebagai platform batu loncatan untuk kepentingan politik peribadi yang melebihi agenda besar parti.

“Pengajaran lalu telah mematangkan kita tiada ruang lagi untuk pengkhianatan berbentuk baharu di dalam rumah Reformasi ini,” tambahnya.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan langkah mengambil alih Parti Bersama Malaysia dalam satu majlis yang turut dihadiri enam ahli parlimen PKR.

Majlis itu dihadiri oleh enam ahli parlimen PKR iaitu Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

#BeritaKS

@BeritaKS