
KUALA LUMPUR, 16 Apr – Universiti Malaya (UM) memandang serius isu tular membabitkan adegan persembahan teater yang didakwa tidak sopan di media sosial baru-baru ini.
“Setiap persembahan hendaklah bebas unsur negatif, provokatif atau sebarang kandungan yang menjejaskan nilai keagamaan, moral, etika, budaya serta nama baik Universiti,” menurut kenyataan rasmi.
Menurut UM, hasil penelitian mendapati adegan yang dipersembahkan tidak selari dengan skrip asal yang telah ditapis dan diluluskan sebelum ini, sekali gus melanggar garis panduan pertandingan yang ditetapkan.
“Perkara ini jelas merupakan pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan. Persembahan itu telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai,” jelas UM.
Sehubungan itu, UM memohon maaf atas kejadian tersebut dan memberi jaminan bahawa tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Terdahulu, video tular itu memaparkan adegan kurang sopan dipercayai daripada Karnival Teater (Karviter) anjuran UM, dan tindakan susulan sedang diambil bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang.