
KUALA LUMPUR, 12 Okt – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menerima jemputan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 13 hingga 15 Oktober ini, ketika kemelut istana negeri itu terus mencetuskan pertikaian mengenai kesahihan kedudukannya sebagai pemerintah.
Jemputan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan, dilihat mengukuhkan kedudukan Tuanku Muhriz yang dipertikaikan oleh Undang Yang Empat.
Bagaimanapun, Tuanku Muhriz memaklumkan bahawa baginda hanya akan menghadiri Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 13 Oktober, memandangkan baginda dijadualkan mempengerusikan pelantikan Undang Jelebu pada 14 Oktober.
Pelantikan Undang Jelebu itu dijangka mempengaruhi keseimbangan sokongan dalam Dewan Keadilan dan Undang (DKU), badan tertinggi yang berkaitan dengan pelaksanaan Adat Perpatih di Negeri Sembilan.
Pra-mesyuarat itu tidak dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi memelihara kepentingan dan pendirian di peringkat negeri sebelum para pemerintah mengadakan pertemuan dengan wakil kerajaan Persekutuan, termasuk Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut sumber yang dipetik The Straits Times, pelantikan berkenaan berpotensi memberikan Tuanku Muhriz sokongan majoriti yang lebih jelas dalam DKU, sekali gus mengukuhkan kedudukan baginda berdepan gerakan yang diketuai Tunku Nadzaruddin Ja’afar, yang turut diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Besar oleh beberapa Undang.
Menurut laporan The Straits Times, Tunku Nadzaruddin bagaimanapun tidak menerima jemputan menghadiri mesyuarat itu meski beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan melalui pemerintah negeri.
Kemelut tersebut berlarutan selepas Undang Yang Empat mengisytiharkan penyingkiran Tuanku Muhriz pada 19 April lalu, namun Peguam Negara berulang kali menyatakan tindakan itu tidak mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan dan baginda kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah.
Sumber: The Straits Times