
WASHINGTON, 18 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengugut untuk mengebom Oman sekiranya negara itu menghalang usaha Washington mencapai perjanjian dengan Iran.
Ancaman itu dibuat ketika AS dan Oman mengadakan rundingan dengan Tehran bagi membuka semula Selat Hormuz, laluan perkapalan penting yang sebahagian besarnya ditutup sejak hampir enam bulan susulan konflik AS-Iran.
Terdahulu, pegawai Iran memaklumkan Tehran dan Muscat hampir memuktamadkan perjanjian berkaitan pembukaan semula laluan strategik berkenaan.
Bagaimanapun, rundingan AS-Iran masih tidak menentu apabila Memorandum Persefahaman (MoU) selama 60 hari antara kedua-dua negara menghampiri tarikh tamat.
Ketika ditemui wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, Trump turut menyatakan beliau tidak berhasrat melanjutkan MoU berkenaan.
Sejak serangan AS dan Israel terhadap Iran pada Februari lalu, Tehran menyekat sebahagian besar laluan di Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia.
Trump turut dipetik sebagai berkata, “Jika Oman menghalang, kami akan mengebom mereka.” Bagaimanapun, tidak jelas tindakan Oman yang dimaksudkan beliau sebagai boleh menghalang usaha mencapai perjanjian dengan Iran.
Oman yang terletak di selatan selat berkenaan mengekalkan pendirian sebagai negara berkecuali, selain memainkan peranan sebagai perantara dalam rundingan dengan Tehran bagi membuka semula laluan perkapalan itu.
Kredit Foto: EPA