
BEIJING, 14 Mei – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping dijadual mengadakan pertemuan penting di Beijing bagi membincangkan beberapa isu sensitif termasuk perang Iran, perdagangan serta ketegangan berkaitan Taiwan.
Pertemuan itu berlangsung dalam suasana penuh istiadat di Dewan Besar Rakyat, sekali gus mencerminkan usaha kedua-dua kuasa besar dunia menstabilkan hubungan yang sebelum ini tegang akibat perang tarif dan persaingan geopolitik.
Trump tiba di Beijing menaiki pesawat Air Force One bersama beberapa tokoh korporat terkenal termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang dan pengasas Tesla, Elon Musk.
Beliau menyatakan harapan agar lawatan itu membuka ruang kerjasama ekonomi lebih luas antara kedua-dua negara sambil menegaskan hubungan peribadinya dengan pemimpin China itu masih kukuh.
Selain konflik Iran, isu Taiwan, eksport nadir bumi dan persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dijangka menjadi fokus utama rundingan selain perbincangan lanjutan gencatan tarif yang dicapai tahun lalu.
Lawatan itu merupakan kunjungan pertama seorang Presiden Amerika Syarikat ke Beijing dalam tempoh hampir sedekad, di mana kali terakhir Trump melawat China adalah pada 2017.
Sumber: AFP