
KUALA LUMPUR, 23 Dis – Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan semakan kehakiman Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah susulan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Jelasnya, sebarang keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh YDPA dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan Perlembagaan adalah jelas dan berada dalam kerangka undang-undang tertinggi negara.
“Jadi, sebarang kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja.
“Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.
“Oleh itu, PAS berpandangan bahawa isu Adendum yang merupakan sebahagian daripada keputusan langsung YDPA ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran,” katanya.
#BeritaKS