
KUALA LUMPUR, 26 Feb – Telekom Malaysia (TM) merancang menamatkan perjanjian akses 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) dan beralih mendapatkan perkhidmatan 5G U Mobile, selaras dengan pelaksanaan kerangka dua rangkaian 5G negara.
TM memaklumkan notis penamatan telah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta DNB pada 24 Februari 2026, tertakluk kepada kelulusan MCMC.
Langkah itu diambil susulan pelancaran perkhidmatan 5G komersial U Mobile pada 26 Januari 2026, sekali gus membolehkan TM mengaktifkan hak penamatan tersebut.
TM memaklumkan kapasiti prabayar yang belum digunakan di bawah perjanjian DNB, bernilai RM127.3 juta setakat 31 Disember 2025, tidak lagi boleh dimanfaatkan selepas penamatan berkuat kuasa.
Anak syarikatnya, TM Technology Services Sdn Bhd, menganugerahkan kontrak 5G selama tiga tahun kepada U Mobile bagi penyediaan, integrasi, pengaktifan, ujian, pengoptimuman dan pengebilan perkhidmatan rangkaian teras berbilang pengendali (MOCN).
#BeritaKS