TDM: SPRM Sita Emas, Wang Asing Bernilai RM6.9 Juta

Jenayah
January 9, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita emas dan wang tunai pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta dalam siasatan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Ini termasuk kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai meliputi nilai dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat, Euro, Pound, Yen serta Riyal.

Media melaporkan sitaan itu hasil pemeriksaan sebuah SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk dibaiki.

“Barang kemas yang disita adalah tiga unit jongkong emas 999 setiap satu seberat satu kilogram yang nilai semasanya kira-kira RM1.8 juta.

“Turut disita sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram di samping SVR dianggarkan bernilai RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Sumber: Harian Metro

#BeritaKS

@BeritaKS