Tarif 50% Ke Atas Negara Pembekal Senjata Iran

Dunia
April 9, 2026

Fara Alisa

WASHINGTON, 9 Apr – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran keras terhadap mana-mana negara yang membekalkan senjata kepada Iran dengan mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 50% sebagai sebahagian daripada usaha memberi tekanan ekonomi.

“Negara yang membekalkan senjata perang kepada Iran akan dikenakan tarif dengan serta-merta ke atas semua barangan yang dieksport ke Amerika Syarikat, 50%, berkuatkuasa serta-merta.

“Tiada pengecualian atau pelepasan,” menurut kenyataan yang dibuat menerusi platform Truth Social.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa pentadbirannya sedang mengadakan rundingan berkaitan tarif dan kelonggaran sekatan dengan Iran, beberapa jam selepas mengumumkan gencatan senjata sementara dengan Tehran.

Langkah itu dibuat susulan persetujuan Iran untuk membuka semula laluan strategik Selat Hormuz secara sementara selepas Amerika Syarikat mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan selama dua minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

China dan Rusia dilaporkan membantu Iran memperkukuh keupayaan ketenteraan bagi menghadapi tekanan daripada Amerika Syarikat dan Israel, termasuk melalui bekalan peluru berpandu, sistem pertahanan udara serta teknologi dwi-guna untuk meningkatkan keupayaan pencegahan.

#BeritaKS

@BeritaKS