SUPOL PM Pun Tak Faham Asas Kewangan? – Akmal

Semasa
September 3, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 3 Sep – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Munim berhubung pertikaian isu perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau menegaskan bahawa asas tatacara kewangan kerajaan menetapkan setiap cadangan projek pembangunan perlulah diteliti dan mendapat kelulusan rasmi Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu sebelum dilaksanakan oleh kementerian terbabit.

“Isunya adalah projek yang dipohon sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, tetapi peruntukan tidak sampai kepada KKDW. Itu isunya,” jelas beliau.

Dr Muhamad Akmal menjelaskan bahawa kelulusan lebihan dana sememangnya di bawah bidang kuasa MOF, malah amalan perbelanjaan melebihi peruntukan bukanlah sesuatu yang hanya berlaku di KKDW, tetapi juga di kementerian lain.

Sambil menjadikan lebihan perbelanjaan Kementerian Pendidikan pada tahun 2024 sebagai contoh, beliau secara sinis menyelar tahap kefahaman Kamil yang memegang jawatan penting selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

“Kalau level ceplos yang tak faham asas kewangan negara, kita boleh terima.

“Tetapi ini Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan merangkap Perdana Menteri pun tak faham, memang makin kuatlah rakyat nak jadikan PMX kepada XPM,” katanya.

Isu ini mula tercetus selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican mendedahkan pola kewangan KKDW yang didakwa kerap merekodkan komitmen perbelanjaan melebihi kelulusan tahunan sejak beberapa tahun lalu.

Kredit foto: Bernama

#BeritaKS

@BeritaKS