
KUALA TERENGGANU, 22 Feb – SPRM Terengganu hari ini menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Menurut sumber, suspek berusia 60-an itu ditahan pada jam 11.15 pagi tadi semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada tahun 2018 dan 2020.
“Suspek dipercayai menggunakan jawatan sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
#BeritaKS