SPR Sahkan Tiada PRK Bagi Parlimen Subang

Semasa
August 12, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi kerusi Parlimen P.104 Subang susulan peletakan jawatan Wong Chen sebagai Ahli Parlimen kawasan berkenaan.

Pengerusi SPR, Dato’ Sri Ramlan Harun berkata pihaknya telah menerima pemakluman mengenai kekosongan luar jangka itu daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semalam.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, Speaker Dewan Rakyat memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk mengisi kekosongan tersebut.

“Selaras dengan itu, tiada PRK bagi kawasan Parlimen P.104 Subang akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Wong yang menjadi Ahli Parlimen Subang sejak 2018 sebelum ini menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Johari pada Rabu lalu, dengan peletakan jawatan itu berkuat kuasa serta merta pada Isnin.

Wong sebelum ini turut menjadi Ahli Parlimen Kelana Jaya dari 2013 hingga 2018 dan antara tiga Ahli Parlimen PKR yang disekat daripada mengakses portal MyKhas, selain Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

#BeritaKS

@BeritaKS