Seronok Dengar Ramalan BN Menang Besar – Ahmad Maslan

Politik
October 14, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 14 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyambut baik ramalan positif berhubung potensi Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau bagaimanapun mengingatkan jentera parti agar tidak terlalu yakin dan terus melipatgandakan usaha menemui pengundi menjelang hari pembuangan undi yang dijadualkan pada 14 November ini.

“Seronok mendengar ramalan yang positif. Saya juga meramal BN akan menang besar. Tetapi saya mohon BN jangan ‘overconfident’. Usaha setiap hari, setiap malam menemui pengundi,” katanya mengulas jangkaan pergerakan sentimen semasa.

Terdahulu, bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming meramalkan BN bukan sahaja mampu mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada 2021, malah berpotensi menambah tiga hingga empat kerusi lagi.

Ramalan tersebut turut menjangkakan keupayaan BN untuk merampas kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Ayer Keroh serta kerusi DUN Bukit Katil yang kini disandang oleh bekas Ketua Menteri, Adly Zahari.

Menyentuh mengenai kekuatan parti, Ahmad menjelaskan bahawa kelebihan BN di Melaka kini didorong oleh kesepaduan jentera pilihan raya, pemilihan calon terbaik serta rekod pencapaian pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyifatkan ramalan berkenaan sebagai satu tamparan hebat kepada kedudukan PH di negeri itu sekiranya ia menjadi kenyataan.

“Jika PRN Melaka ini menghasilkan keputusan yang macam Ong sebut, maknanya habislah PH di Melaka. Nampaknya, ramalan bekas pemimpin DAP ini lebih yakin dengan kekuatan UMNO daripada pemimpin PH. Ini akan merenggangkan lagi hubungan antara BN dan PH dalam kerajaan perpaduan untuk PRU nanti,” katanya.

Kredit foto: NST

#BeritaKS

@BeritaKS