Saya Tidak Perlu Bercuti — Azam Baki

Jenayah, Lain-Lain
February 15, 2026

Nor Aziah

DENGKIL, 15 Feb – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk bercuti, seperti desakan segelintir pihak susulan dakwaan rasuah oleh sebuah portal antarabangsa baru-baru ini.

Jelas Azam, beliau akan bertugas seperti biasa dan bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan itu.

“Dah itu terpulang. Saya tidak perlu bercuti. Kalau nak bercuti, saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ni di mahkamah masih lagi bertugas. Saya ada buat jenayah ke?,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat isu pemilikan saham, Azam berkata beliau setakat ini masih belum dipanggil untuk memberi keterangan.

“Sehingga kini saya belum dipanggil. Perkara ini bukan soal dipanggil atau tidak, ia sebenarnya mudah. Saya sudah diminta menyerahkan dokumen dan saya akan berbuat demikian.

“Namun ada dokumen yang bersifat peribadi yang hanya akan ditunjukkan kepada pihak berkaitan dan bukan kepada individu yang tiada kaitan. Itu adalah dokumen peribadi saya,” katanya.

Terdahulu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memaklumkan jawatankuasa itu telah memulakan siasatan dengan mengumpul maklumat berkait kes terbabit.

#BeritaKS

@BeritaKS