Sabah, Sarawak ‘King Maker’, Tentukan PM – Ewon

Semasa
August 10, 2026

Fara Alisa

PENAMPANG, 10 Ogos – Blok Borneo yang merangkumi Sabah dan Sarawak disifatkan mempunyai kekuatan dan kedudukan strategik untuk bertindak sebagai ‘king maker’ dalam menentukan siapa yang bakal menerajui Kerajaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan, peranan kedua-dua wilayah tersebut tidak wajar sekadar dinilai dari sudut politik semasa, tetapi harus dilihat dari konteks sumbangan asalnya sebagai pembentuk Persekutuan Malaysia.

“Sabah dan Sarawak boleh menjadi ‘king maker’ dan menentukan siapa Perdana Menteri. Saya melihatnya dalam konteks yang lebih besar. Persekutuan ataupun negara Malaysia ini tidak akan wujud tanpa Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Kenyataan tersebut disuarakan bagi menyelar pandangan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng baru-baru ini yang mendakwa blok Borneo bakal hilang taring sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

“Jangan perkecilkan peranan Sabah dan Sarawak dalam memastikan siapa Perdana Menteri, siapa yang harus berada di dalam kerajaan Persekutuan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai persediaan PRU16, beliau memaklumkan bahawa UPKO berhasrat untuk terus mempertahankan dua kerusi Parlimen yang disandang parti itu ketika ini, iaitu Tuaran dan Penampang.

Beliau menjelaskan, ketetapan serta pendirian parti berhubung agihan kerusi itu akan dibawa ke meja rundingan untuk dibincangkan secara harmoni menerusi saluran dalaman bersama pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

#BeritaKS

@BeritaKS