RM131 Juta Pakej Ekonomi Selangor Tangani Krisis Global

Semasa
April 16, 2026

Fara Alisa

SHAH ALAM, 16 Apr – Kerajaan Selangor mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor berjumlah RM130.42 juta bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi susulan konflik di Asia Barat, bermula bulan Jun.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej itu bertujuan memperkukuh sekuriti makanan, mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta menyediakan bantuan bersasar kepada rakyat yang terjejas.

Menurut beliau, antara langkah utama termasuk peruntukan RM50 juta bagi meningkatkan stok makanan negeri, selain RM25 juta untuk menyokong petani dan nelayan berdepan kenaikan kos bahan api dan input pertanian.

“Seramai 18,000 pesawah akan menerima RM500 bagi setiap hektar untuk setiap musim, manakala 2,000 nelayan menerima RM300 sebulan selama enam bulan susulan kenaikan kos diesel,” katanya.

Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan langsung kepada rakyat termasuk pemberian baucar ‘Kita Selangor’ sebanyak RM100 sebulan kepada 50,000 penerima selama enam bulan.

“Kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya perlu bersedia menghadapi situasi ini untuk jangka panjang,” jelasnya.

#BeritaKS

@BeritaKS