
TUARAN, 27 Nov – PM Dato’ Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Persekutuan kini di fasa akhir melaksanakan tuntutan 40% hasil Sabah selepas beberapa keputusan dimuktamadkan di Kabinet dan Parlimen.
“Saya sudah maklumkan di Kabinet, saya nyatakan juga di Parlimen, kerajaan Persekutuan akan hormati komitmen dan kita akan laksanakan 40% itu dalam masa terdekat,” katanya.
Anwar turut menolak dakwaan isu itu sekadar slogan, dengan menegaskan kerajaan kini mengambil langkah konkrit termasuk mengembalikan kuasa elektrik Sabah serta meluluskan tambahan RM1.2 bilion untuk masalah tenaga.
“Ini permintaan pertama Sabah untuk dapat balik kuasa elektrik, dan kita bersetuju. Kini ia bukan lagi di bawah kuasa Persekutuan,” katanya.
Anwar turut mengecam pemimpin yang hanya mengkritik tanpa memahami proses dan angka sebenar yang perlu dipatuhi.
“Ini bukan soal puluh juta. Ini berbillion. Kita perlu semak perjanjian, pastikan jumlah tepat. Bila semua selesai, barulah kita tunaikan. Selama ini siapa yang benar-benar buat?” katanya.
Beliau menegaskan kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya peranan Ketua Menteri Hajiji Noor, membantu mempercepat penyelesaian isu berkaitan MA63.
“Kalau kerajaan negeri berbincang cara baik, semua menjadi lebih mudah. Ketua Menteri memainkan peranan besar membawa perkara ini kepada kita,” katanya.
#BeritaKS