
KOTA BHARU, 4 Jan – Polis menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang mengugut dengan menconteng dinding pagar Lapang Sasar Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Gunong, Bachok, pada 22 Dis lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menyifatkan perbuatan itu sebagai satu bentuk cabaran terbuka terhadap pihak berkuasa meskipun tidak menolak kemungkinan ia dilakukan oleh golongan muda.
“Perbuatan ini boleh disifatkan sebagai kurang ajar kerana sanggup mengugut pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas memerangi jenayah.
“Saya percaya ugutan ini ditujukan kepada saya berikutan ketegasan polis dalam menjalankan operasi pelbagai kegiatan jenayah termasuk dadah, along dan jenayah terancang di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sedang mengesan dalang dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
#BeritaKS