
KUALA LUMPUR, 3 Mei – Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meluluskan usul untuk menamakan semula Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan sebagai Velodrom Azizulhasni, bagi menghargai sumbangan besar Azizulhasni Awang kepada sukan berbasikal negara.
Presidennya, Amarjit Singh Gill berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan PKBM dan akan dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara untuk pertimbangan.
“Potensi Azizulhasni harus dicerminkan oleh velodrom tersebut. Menukar nama bukanlah satu keputusan yang kita sebagai persekutuan boleh buat sendiri dan ia mungkin ambil masa satu atau dua tahun,” katanya.
Beliau berkata jika pertukaran itu berjaya, penukaran nama Velodrom Azizulhasni di Dungun akan dipertimbangkan bagi mengelakkan kekeliruan.
Velodrom Nasional yang menelan kos pembinaan RM80 juta dirasmikan lima jaguh berbasikal negara termasuk Azizulhasni pada 2017.
Pada masa sama, pemilihan jawatankuasa PKBM bagi penggal 2026-2030 menyaksikan Norazman Abu Samah dipilih sebagai Timbalan Presiden, manakala beberapa jawatan lain akan dimuktamadkan selepas perbincangan lanjut.
Kredit: Bernama