PH U-Turn, Keluar Kerajaan Tapi Bincang Kerusi – Akmal

Politik
August 10, 2026

Fara Alisa

MELAKA, 10 Ogos – Tindakan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak konsisten berhubung pendirian kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) di Melaka telah mengundang sindiran sinis daripada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau mempersoalkan percanggahan ketara pendirian gabungan politik tersebut yang secara tiba-tiba menyambut baik kerjasama bersama BN, tidak sampai sebulan selepas bertindak memboikot pentadbiran negeri.

“Julai 2026, PH Melaka muktamad keluar kerajaan. Ogos 2026, nak bincang rundingan kerusi bersama. Macam ini pun ada ya,” sindir beliau.

Sindiran tersebut merujuk kepada kenyataan terbaharu Ketua Penerangan PKR, Dato’ Seri Fahmi Fadzil yang secara terbuka menyatakan kesediaan PH untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi bersama BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kenyataan Fahmi itu dilihat janggal memandangkan pada 15 Julai lalu, PH Melaka secara rasmi mengumumkan penarikan sokongan terhadap Kerajaan Negeri berikutan pertikaian berhubung pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan kapasiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Perkembangan dan percanggahan pendirian terbaharu ini sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati berhubung dinamika serta hala tuju sebenar permuafakatan antara kedua-dua blok tersebut.

Bahang PRN Melaka kini semakin dirasai dengan spekulasi kuat mengaitkan kemungkinan pilihan raya diadakan seawal Oktober, berikutan tempoh penggal DUN yang bakal berakhir secara automatik pada 30 Disember ini.

Kredit foto: Utusan Malaysia

#BeritaKS

@BeritaKS