
PULAI, 12 Jul – Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan terbuka selepas gabungan itu hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Pengarah Jentera PH bagi PRN Johor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PH menghormati keputusan pengundi walaupun mengakui gabungan itu berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh kempen.
“Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh kempen, tetapi kami akur dengan keputusan tersebut memandangkan jentera dan calon dipanggil bertanding dalam keadaan yang belum bersedia sepenuhnya.
“Kita sedari bahawa ada cabaran untuk melaksanakan strategi ini. Ia dipanggil dalam keadaan belum bersedia,” katanya pada sidang media di Pusat Informasi PH, semalam.
Beliau berkata PH akan mengadakan post-mortem bagi menilai semula strategi dan pendekatan politik termasuk menganalisis corak sokongan mengikut kawasan.
Amirudin turut menegaskan kekalahan itu bukan penentu kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Kita ada setahun lagi (untuk PRU), macam-macam perkara boleh berlaku. Kami tetap positif dan memandang ke hadapan.
“Bilik gerakan dan jentera kami perlu kenal pasti apa kesilapan serta isu-isu lain yang perlu kita tonjolkan, termasuk menyusun semula strategi pendekatan kita kepada pengundi,” ujarnya.
Kredit: Astro AWANI