
PETALING JAYA, 6 Ogos – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung secara terbuka mempersoalkan status baki peruntukan parlimennya bernilai RM3 juta yang didakwa telah dialihkan saluran penyalurannya.
Beliau dengan tegas menyifatkan peruntukan parlimen terbabit merupakan wang awam yang secara hakikinya diperuntukkan untuk manfaat serta kesejahteraan seluruh masyarakat setempat.
“Pada penghujung Mei lalu, akses saya ke portal MyKhas telah disekat. Sehingga bulan Julai, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengesahkan bahawa baki peruntukan RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.
“Sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, saya telah berusaha mendapatkan penjelasan melalui pelbagai saluran mengenai ke mana perginya baki peruntukan tersebut. Namun sehingga kini, tiada penjelasan rasmi diberikan,” jelas beliau.
Susulan perubahan drastik itu, wakil rakyat berkenaan membangkitkan persoalan sama ada tindakan kerajaan menukar saluran peruntukan tersebut merupakan satu bentuk ‘sakau’ yang cuba dihalalkan.
“Adakah ini satu bentuk ‘sakau’ yang dihalalkan? Perdana Menteri sendiri sering menggunakan istilah ‘sakau’ untuk mengkritik penyalahgunaan dana awam.
“Mengapakah tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat? Jika benar berlaku perubahan mekanisme penyaluran peruntukan, mengapa tiada pekeliling, kenyataan rasmi atau garis panduan diumumkan kepada rakyat Petaling Jaya?” soal beliau.
Beliau mendesak pihak kerajaan agar bersikap lebih terbuka sekiranya benar wujud arahan baharu berhubung tatacara pengurusan serta pengagihan kewangan tersebut.
Kredit foto: Malaysiakini