
IPOH, 10 Ogos – DAP yakin ‘gelombang merah’ Pakatan Harapan (PH) akan bermula di Perak pada pilihan raya akan datang, sekali gus menjadi pencetus kepada perubahan landskap politik baharu negara.
Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata Perak mempunyai keunikan tersendiri kerana dihuni masyarakat berbilang kaum dan agama yang mampu disatukan menerusi pendekatan politik yang konstruktif.
“Ini adalah satu titik permulaan kepada ‘tsunami rakyat’ atau ’gelombang merah‘ yang saya yakin akan bangkit di bumi bertuah Perak Darul Ridzuan.
“Kita percaya bahawa Perak bukan Johor, Perak bukan Negeri Sembilan. Perak meraikan kepelbagaian dan semangat kebersamaan dalam satu keluarga besar bersama PH,” katanya.
Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, rakyat kini memerlukan politik yang berteraskan kepada integriti, tadbir urus baik dan reformasi, bukannya pendekatan politik lama yang hanya mengutarakan sentimen semata-mata.
Beliau berkata, kestabilan politik dan dasar kerajaan yang jelas serta bersih penting bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap negara serta pengukuhan nilai mata wang terus dipertahankan.
Kredit Foto: Malaysia Gazette