Penuntut Universiti Pijak Al-Quran Direman 4 Hari

Jenayah
February 26, 2026

Nor Aziah

KUANTAN, 26 Feb – Seorang penuntut sebuah universiti tempatan di sini, direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan susulan tular gambar lelaki disyaki memijak al-Quran dan memuat naik di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata penuntut itu ditahan awal pagi semalam susulan laporan polis dibuat oleh bapa suspek.

Jelasnya, bapa kepada penuntut berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bagi membuat laporan berhubung hantaran di media sosial yang dimuat naik anaknya, berkaitan dakwaan penghinaan terhadap al-Quran.

“Dalam kejadian itu, anak pengadu berusia 21 tahun memuat naik gambar menghina kitab suci agama Islam di media sosial miliknya.

“Pengadu datang ke balai polis bersama anaknya dengan tujuan memohon maaf kepada orang Islam.

“Tindakan itu dilakukan pengadu kerana bimbang keselamatan anaknya selepas membuat hantaran menghina Islam di media sosial,” katanya.

Tambahnya, susulan itu polis menahan anak suspek untuk siasatan lanjut dan direman selama empat hari hingga 28 Februari.

#BeritaKS

@BeritaKS