Pengerusi Kuil Didakwa Ceroboh Tanah

Jenayah
February 9, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Seorang pengerusi sebuah kuil dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menceroboh tanah milik pihak lain di Jalan Selangor Dredging, Dengkil, pada 19 Jun tahun lalu.

Tertuduh, M Paramaguru, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Paramaguru didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenarannya pada 4.45 petang di Jalan Selangor, Dredging, Dengkil pada tahun lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Peguam tertuduh, Darshela Hari Raja memohon jaminan lebih rendah memandangkan anak guamnya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM1,800 sebulan.

Susulan itu, Mahkamah kemudian membenarkan Paramaguru dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mac sebagai tarikh serahan dokumen.

#BeritaKS

@BeritaKS