
ISKANDAR PUTERI, 7 Jun – Bekas Naib Presiden UMNO, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein membuat penampilan pertamanya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 Barisan Nasional (BN) selepas diterima kembali ke UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Majlis berkenaan diadakan menjelang PRN Johor yang bakal berlangsung susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz yang juga merupakan Pengerusi BN Johor sebelum ini telah mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada pilihan raya berkenaan.
Terdahulu, Hishammuddin diterima kembali ke dalam UMNO menerusi pendekatan Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha memperkukuh penyatuan parti.