
KOTA BHARU, 3 Sep – Kehadiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh pada Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS ke-72 di Hotel Grand Riverview hari ini mencuri perhatian ketika hubungan kedua-dua parti kembali menjadi tumpuan politik negara.
Akmal tiba kira-kira jam 8.30 pagi dengan diiringi Ketua Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, serta Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Muktamar Dewan Pemuda PAS berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan majlis perasmian disempurnakan Tuan Ibrahim hari ini.
Kehadiran Akmal itu turut menjadi antara kunjungan pimpinan UMNO pada Muktamar PAS kali ini selepas Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini memaklumkan pimpinan UMNO dijemput menghadiri muktamar berkenaan.
Selain Dewan Pemuda, Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat PAS turut berlangsung hari ini, masing-masing di Kota Bharu dan Bachok.
Kehadiran Ketua Pemuda UMNO itu dilihat signifikan susulan sejarah kerjasama kedua-dua parti menerusi Muafakat Nasional sebelum ini, selain membuka ruang kepada pimpinan sayap Pemuda untuk bertemu dan bertukar pandangan mengenai perkembangan politik semasa.
Kredit: Berita Harian