Patik Hormat & Patuh Rukun Negara — Wong Siew Ki

Semasa
May 20, 2026

Fara Alisa

SHAH ALAM, 20 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menegaskan beliau menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sambil menyatakan prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, wakil rakyat DAP itu berkata beliau sentiasa menghormati serta mematuhi prinsip-prinsip berkenaan demi kepentingan rakyat Selangor dan negara.

“Patik menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

“Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi, dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat,” katanya.

Menurut Wong, lima prinsip Rukun Negara itu menjadi asas utama dalam setiap tindakan dan amanah yang dipikulnya.

“Patik amat menghormati dan sentiasa mematuhi prinsip-prinsip ini dalam setiap tindakan patik demi mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia,” tambahnya.

Terdahulu, Sultan Selangor menyarankan Wong dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara susulan kontroversi berkaitan isu penternakan babi di negeri itu.

#BeritaKS

@BeritaKS