
KOTA BHARU, 10 Ogos – PAS bersedia berunding dengan UMNO bagi menentukan pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk membuka ruang untuk menilai semula kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung PAS, Dato‘ Seri Takiyuddin Hassan, berkata rundingan berhubung perkara itu dijangka berlangsung dalam masa terdekat, namun setakat ini belum ada tarikh khusus ditetapkan.
Menurut beliau, rundingan akan dibuat di peringkat PAS dan Perikatan Nasional (PN), namun buat masa ini tidak membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
“Dalam waktu terdekatlah. Ketika ini belum memulakan rundingan secara terperinci dengan UMNO berhubung sasaran kerusi untuk PN di Melaka.
“Pembahagian kerusi tidak semestinya menggunakan konsep sama seperti yang dipersetujui dalam rundingan di Negeri Sembilan kerana kedudukan kerusi di Melaka adalah berbeza,” katanya.
Menurut beliau, faktor keputusan PRU15 turut menjadi asas perbincangan kerana Pas memenangi dua daripada enam kerusi Parlimen di Melaka pada pilihan raya berkenaan.
Beliau berkata, pada PRU15, Bersatu memenangi satu kerusi Parlimen, PKR (1), DAP (1) dan Amanah (1), manakala UMNO tidak memenangi kerusi Parlimen di negeri itu.
“Pokoknya kita belum bincang secara mendalam dan akan bincang dengan UMNO,” katanya.
Bagaimanapun, ujar beliau, kedudukan di Melaka perlu diteliti berdasarkan perkembangan politik negeri itu dan keputusan pilihan raya sebelum ini.
Kredit Foto: NSTP