PAS Gesa Kerajaan Atasi Isu Hilang Kerja Di KL, Selangor

Semasa
April 16, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 16 Apr – Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menggesa kerajaan membentangkan langkah penyelesaian yang lebih jelas dan boleh diukur bagi menangani isu kehilangan pekerjaan di Selangor dan Kuala Lumpur yang semakin merisaukan.

Beliau berkata data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan kedua-dua negeri itu terus mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan tertinggi pada Mac lalu, meskipun angka keseluruhan negara menurun kepada 5,900 kes berbanding 7,500 pada Februari.

“Penurunan angka keseluruhan tidak boleh dijadikan alasan untuk kerajaan berasa selesa.

“Bagi rakyat marhaen, kehilangan satu pekerjaan bukan sekadar angka dalam laporan, tetapi musibah yang menggoncang institusi keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah tersusun termasuk memperkenalkan pelan tindak balas pekerjaan yang bersasar, memperkasa program padanan kerja, latihan semula serta insentif kepada industri yang mengekalkan tenaga kerja tempatan.

“Pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui projek mega atau pelaburan besar, tetapi sejauh mana rakyat mempunyai pekerjaan stabil, pendapatan bermaruah dan masa depan terjamin,” ujarnya.

Kredit foto: FB Mohamed Sukri Omar

#BeritaKS

@BeritaKS