PAS, DAP, MCA Sertai Himpunan Tangkap Azam Baki Esok

Semasa
April 24, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 24 Apr – Pemuda PAS, MCA dan DAP mengumumkan penyertaan dalam himpunan ‘Tangkap Azam Baki’ yang bakal berlangsung di Dataran Merdeka esok, bagi menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Perhimpunan anjuran kumpulan masyarakat sivil itu turut dijangka disertai beberapa pemimpin politik termasuk Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nadzir Helmi berkata pihaknya akan menggerakkan ahli bagi menuntut keadilan dan ketelusan, selari dengan prinsip parti.

“Pemuda PAS akan bersama dalam himpunan ini, dan akan menyeru semua Pemuda PAS untuk hadir bersama serta menyatakan keadilan dan ketelusan dalam isu yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pemuda MCA dan Pemuda DAP turut menyatakan sokongan terhadap tuntutan utama himpunan termasuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham serta reformasi institusi melibatkan SPRM.

“Kerajaan mesti menghormati komitmennya terhadap reformasi institusi. Jawatan itu tidak lagi harus ditentukan oleh Perdana Menteri semata-mata tetapi tertakluk kepada pelantikan dan pengawasan Parlimen,” menurut kenyataan Pemuda MCA.

Himpunan ‘Tangkap Azam Baki’ dianjurkan bagi mendesak ketelusan terhadap isu melibatkan Azam Baki, yang kontraknya dijadual tamat pada 12 Mei ini selepas beberapa kali lanjutan tempoh perkhidmatan.

Kredit foto: Utusan Malaysia, FMT, The Star

#BeritaKS

@BeritaKS