Pannir, Israk, Azah & Naqib Antara Muka Baharu Exco Johor

Politik
July 18, 2026

Fara Alisa

JOHOR BAHRU, 18 Jul – Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi hari ini mengumumkan barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu, menyaksikan enam exco dikekalkan manakala empat muka baharu diberi kepercayaan menganggotai pentadbiran negeri.

Enam yang kekal ialah Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor (Bukit Permai), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir), Mohd. Hairi Mad Shah (Larkin), Mohd. Fared Mohd. Khalid (Semerah), Lee Ting Han (Paloh) dan Ling Tian Soon (Yong Peng).

Empat muka baharu pula ialah Md. Israk Abdullah (Kukup), Dr. Muhammad Naqib Ghazali (Panti), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan P. Pannir Selvam (Perling).

Pengumuman itu dibuat di kediaman rasmi Menteri Besar selepas kesemua exco selesai mengangkat sumpah jawatan di Istana Bukit Serene di hadapan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Onn Hafiz menegaskan pelantikan sebagai exco bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah besar yang perlu dipikul demi kepentingan rakyat Johor.

“Ini bukan masa berbulan madu, mandat yang diberikan rakyat perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan cekap sekali gus meneruskan agenda Maju Johor 2030,” katanya.

Terdahulu, Onn Hafiz yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor bagi penggal kedua berturut-turut selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Kredit: Utusan Malaysia

#BeritaKS

@BeritaKS