“Onn Hafiz, Presiden Anda Setiap Minggu Duduk Sebelah DAP”

Politik
June 7, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan beliau lebih rela melepaskan jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Beliau menyindir pendirian tersebut dengan menyatakan bahawa Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri setiap minggu bersama wakil DAP di Peringkat Persekutuan.

“Anda tak mahu duduk semeja dengan DAP, hebat! Teruskan keangkuhan anda.

“Tetapi, Presiden anda tiap-tiap minggu duduk sebelah Setiausaha Agung DAP. Harap maklum, terima kasih!” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor, Onn Hafiz menegaskan BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan Menteri Besar daripada duduk semeja dengan mereka (DAP),” tegas Onn.

#BeritaKS

@BeritaKS