
KUALA LUMPUR, 7 Jan – Muhyiddin Yassin, Anwar Ibrahim dan Najib Tun Razak kekal sebagai antara pilihan rakyat untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia, namun Khairy Jamaluddin muncul sebagai pilihan utama, menurut kajian terbaharu Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA).
Kajian tersebut mendapati Khairy Jamaluddin mencatatkan tahap sokongan tertinggi sebagai pilihan Perdana Menteri, dengan 52 peratus responden menyatakan sokongan, manakala hanya 19 peratus tidak menyokong.
Bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memperoleh 46 peratus sokongan sebagai pilihan Perdana Menteri, sementara 33 peratus responden menyatakan tidak menyokong beliau.
Bekas Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak merekodkan 41 peratus sokongan berbanding 29 peratus yang tidak menyokong sebagai calon Perdana Menteri.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencatatkan 39 peratus sokongan, dengan 37 peratus responden menyatakan tidak menyokong, menunjukkan tahap penerimaan yang hampir seimbang dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan beliau.
Kajian Institut MASA ini dijalankan menerusi temu bual rawak melibatkan 1,604 responden berusia 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia bagi menilai kecenderungan rakyat terhadap kepimpinan negara.
#BeritaKS