
MELAKA, 23 Ogos – MCA Melaka yakin mampu merampas sekurang-kurangnya dua daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem berkata keyakinan itu berdasarkan penilaian terhadap kekuatan parti serta prestasinya pada PRN Johor.
Katanya, tujuh kerusi tradisi MCA dilihat berpotensi untuk ditandingi termasuk Machap Jaya, Klebang, Bemban, Kota Laksamana, Ayer Keroh, Kesidang dan Banda Hilir, namun keputusan akhir bergantung kepada pimpinan parti.
“Jika ikut penilaian, kita boleh rampas sekurang-kurangnya dua kerusi daripada DAP,” katanya.
Mengulas kemungkinan pembahagian kerusi berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), Hee Sem menyerahkan rundingan kepada pimpinan tertinggi parti, khususnya Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Beliau turut yakin BN mampu memenangi banyak kerusi dan membentuk kerajaan negeri sekiranya bertanding secara solo.
“Penilaian saya kalau BN bertanding solo, saya yakin boleh menang banyak kerusi dan kita boleh memimpin Kerajaan Negeri Melaka pada masa akan datang.
“Kita yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri dan usaha selama tiga tahun menerajui Melaka. Kita sudah banyak usaha, macam-macam program sudah buat dan masalah rakyat kita pun sudah selesai bersama,” ujarnya.
Kredit: Utusan Malaysia