
JOHOR BAHRU, 10 Ogos – Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi menempelak dakwaan pihak tertentu yang melabelkan kelantangan kerajaan negeri berhubung isu kesihatan tempatan sebagai sekadar ‘wayang’, sebaliknya menegaskan tindakan tersebut adalah desakan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengotakan janji mereka.
Jelasnya, krisis kekurangan doktor dan jururawat di tahap kritikal di negeri itu telah disuarakan dan dibincangkan secara baik bersama pihak kementerian sejak tahun 2023 lagi.
“Untuk pengetahuan Bangsa Johor, Kerajaan Negeri terpaksa menyeru dan menuntut janji yang telah dibuat oleh KKM melalui media dan media sosial… malah pada tahun lalu, pihak KKM telah menghadap DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk menyelesaikan isu perjawatan ini,” dedahnya menerusi satu kenyataan rasmi.
Menurut Onn Hafiz, KKM sebelum ini telah bersetuju untuk segera mengisi kekosongan jawatan kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI), dan Hospital Kulai, selain menambah tenaga kerja di Hospital Pasir Gudang.
Bagaimanapun, memandangkan masalah tersebut masih terus membelenggu sistem kesihatan negeri sehingga ke hari ini, pihaknya terpaksa berterusan mendesak pihak berwajib agar melaksanakan tanggungjawab mereka.
Bagi menyangkal dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya menjadi ‘pemerhati dan pendesak’, beliau menggariskan pelbagai inisiatif proaktif yang telah dilaksanakan bagi mengurangkan beban sistem kesihatan awam di Johor.
Antara intervensi tersebut termasuklah membiayai penempatan doktor locum (sambilan) di hospital utama, memperluas inisiatif penghantaran ubat, menambah peruntukan ambulans, serta mewujudkan kerjasama strategik bersama sektor swasta seperti KPJ Healthcare.
“Maka jelaslah Kerajaan Negeri Johor bukan sekadar ‘wayang’ bila melibatkan nyawa, kesihatan dan kebajikan Bangsa Johor. Seperti yang saya katakan, kami hanya menuntut apa yang dijanjikan,” tegasnya.
Kredit foto: Berita Harian