
KUALA LUMPUR, 31 Jan – Panglima Medan Barat Tentera Darat, Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu berkuat kuasa esok.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenankan kenaikan pangkat Malek Razak daripada Leftenan Jeneral kepada Jeneral sebelum dilantik sebagai PAT ke-24.
Menurut Khaled, Malek Razak memiliki memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies daripada King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.
Malek Razak memulakan kerjaya ketenteraan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet di Royal Military College, Sandhurst sebelum ditauliahkan pada 1987 dan berkhidmat hampir empat dekad dalam pelbagai jawatan pemerintah serta staf.
Khaled berkata, pengalaman luas dan kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi cabaran keselamatan, selain memelihara integriti dan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.