
KUALA LUMPUR, 21 Mei – Ketua Dewan Ulama PAS, Dato’ Ahmad Yahaya mendakwa Malaysia mampu mencapai keamanan sebenar tanpa penglibatan DAP yang disifatkannya sebagai parti cauvinis dan punca kepada ketegangan kaum dalam negara.
Menurut beliau, DAP dilihat terus ‘bertembung’ dengan institusi diraja walaupun titah Sultan Selangor telah beberapa kali diperjelaskan kepada umum.
“Apabila Tuanku Sultan bertitah, seharusnya kita akur. Apatah lagi titah Tuanku Sultan diulang-ulang beberapa kali. Namun tidak sesekali bagi parti berlatar belakang cauvinis seperti DAP yang masih tegar ‘bertembung’ dengan istana,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan kontroversi membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew berhubung isu penternakan babi di Selangor.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pihak yang didakwa lantang mempertahankan isu sensitif seperti industri arak, judi, pengiktirafan UEC dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Negara masih terperangkap dalam isu-isu di atas kerana ada pihak yang tegar memperjuangkannya meskipun menyedari isu-isu sedemikian sangat sensitif.
“Kedegilan merekalah menyebabkan negara dan rakyat terus retak dalam sengketa dan perpecahan. Oleh sebab itulah, sebenarnya Malaysia boleh kecapi keamanan sebenar tanpa mereka. Malaysia yang aman tanpa DAP,” tambahnya.
Kredit: MalaysiaGazette