
JOHOR BAHRU, 7 Jun – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan memohon maaf atas kenyataannya yang mencetuskan kontroversi apabila menyebut PH akan ‘mengebumikan’ Barisan Nasional (BN) buat kali kedua di Johor.
Menurut beliau, kenyataan tersebut dibuat secara spontan susulan pengumuman Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi bahawa BN akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang meski mempunyai kerjasama di peringkat Persekutuan.
“(Itu) ucapan politik sebagai rakan. Apabila rakan kita buat sesuatu mengejutkan, akan terpacul ungkapan seperti ‘kau nak mati ke?’ yang mungkin kedengaran keras dan saya minta maaf atas kekasaran itu.
“Apapun sejarah membuktikan BN pernah dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 dan tidak mustahil boleh berlaku lagi,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau turut mempersoalkan keperluan mengadakan PRN lebih awal sedangkan kerajaan negeri yang diterajui UMNO-BN memiliki majoriti dua pertiga.
“Kenapa perlu adakan PRN sekarang, ketika dunia menghadapi krisis tenaga dan ekonomi? Adakah langkah ini untuk menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan pada peringkat nasional?” soalnya.
Terdahulu, Aminolhuda bertekad untuk menewaskan BN di Johor selepas gabungan itu mengumumkan akan bergerak solo pada PRN akan datang.
Sumber: Berita Harian