
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Gangguan teknikal melibatkan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pagi ini mencetuskan kemarahan pengguna pengangkutan awam yang meluahkan rasa kecewa terhadap mutu perkhidmatan serta pengendalian sistem pengangkutan awam negara.
Pengguna menyelar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan menyuarakan rungutan di media sosial selepas kelewatan berlaku sejak awal pagi hingga menjejaskan perjalanan harian mereka ke tempat kerja.
“Dari 6 pagi sudah ada masalah. Pengangkutan awam kita sangat teruk. Kemudian menteri kata kita tak cukup naik pengangkutan awam. Bagi dia naik pengangkutan awam baru dia ada akal,” kata seorang pengguna melalui hantaran di media sosial.
Seorang lagi pengguna turut menyelar Loke susulan gangguan berulang LRT yang terjadi setiap minggu namun masih tiada solusi yang dikemukakan oleh pihak bertanggungjawab.
“Terima kasih Anthony Loke, menteri malang paling ‘berguna’ dalam sejarah,” ujar seorang lagi pengguna melalui hantaran di media sosial.
Terdahulu, Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami kelewatan akibat kerosakan komponen sebuah tren sehingga tidak dapat bergerak.
Rapid KL berkata pasukan teknikal telah digerakkan ke lokasi untuk kerja baik pulih selain mengaktifkan perkhidmatan bas perantara dan tren alternatif bagi membantu pengguna meneruskan perjalanan mereka.
Kredit foto: Izz Naim