Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ Bergema Di Sogo

Jenayah
February 15, 2026

Nor Aziah

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Kira-kira 1000 individu terdiri daripada mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia berhimpun secara aman di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini hari ini, bagi menuntut siasatan telus terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen serta Presiden Pemangku Muda, Amira Aisya Abdul Aziz turut hadir berhimpun.

Selain itu, ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz serta aktivis Hishamuddin Rais turut kelihatan.

Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ bergema di sekitar kawasan terbabit, namun perhimpunan itu terkawal dan dipantau pihak polis bagi memastikan ketenteraman awam tidak terjejas.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari 2025.

Pegangan itu dianggarkan bernilai hampir RM800,000 dan namanya masih tersenarai sebagai pemegang saham dalam rekod SSM yang dikemas kini secara berkala melalui pangkalan data berbayar.

#BeritaKS

@BeritaKS