KWAP Mangsa ‘Scam’ eFishery, Labur Hampir RM200 Juta

Semasa
July 16, 2026

Fara Alisa

KUALA LUMPUR, 16 Jul – Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) diperdaya untuk melaburkan hampir RM200 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery, yang didakwa terbabit dalam penipuan terancang membabitkan manipulasi laporan kewangan.

Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan pelaburan itu dibuat mengikut prosedur tadbir urus yang ditetapkan, termasuk penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta semakan penyata kewangan yang disahkan juruaudit antarabangsa.

Menurut beliau yang juga Perdana Menteri itu, pelaburan berkenaan diluluskan berdasarkan maklumat yang ketika itu dipercayai sahih, namun pengurusan eFishery didapati memanipulasi rekod kewangan syarikat.

“Pelaburan eFishery ini merupakan satu penipuan terancang dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Anwar turut memaklumkan beberapa pelabur institusi antarabangsa termasuk Temasek Holdings, Northstar Group dan SoftBank Group turut mengalami kerugian akibat pelaburan dalam syarikat berkenaan.

Beliau berkata konsortium pelabur termasuk KWAP kini sedang mengambil langkah mendapatkan semula dana yang hilang serta telah membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas penyelewengan itu terbongkar.

“Tindakan susulan sudah diambil selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan prinsip akauntabiliti institusi. KWAP kekal komited untuk mengurus dana persaraan penjawat awam secara telus, berintegriti dan berakauntabiliti,” tambahnya.

#BeritaKS

@BeritaKS