
GEORGETOWN, 12 Okt – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mempertahankan keputusan menutup sekolah berdasarkan keperluan semasa susulan keadaan jerebu yang berubah mengikut masa dan lokasi.
Beliau berkata, pihaknya memahami kebimbangan ibu bapa berhubung pengumuman penutupan sekolah secara harian, termasuk desakan supaya sekolah ditutup beberapa hari lebih awal bagi memudahkan perancangan keluarga.
“Saya memahami kebimbangan ini. Justeru, saya sudah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persiapan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU) boleh berubah mengikut masa dan tempat, justeru keputusan penutupan perlu diselaraskan berdasarkan keadaan semasa di kawasan terjejas.
Katanya, pengurusan jerebu memerlukan tindakan terselaras antara agensi, dengan Jabatan Alam Sekitar memantau kualiti udara, Kementerian Kesihatan memberikan panduan kesihatan awam dan Kementerian Pendidikan (KPM) memastikan keselamatan murid serta kelancaran operasi sekolah.
Fadhlina turut mengingatkan mengenai kesan gangguan persekolahan berpanjangan terhadap pendidikan kanak-kanak, dengan mengambil iktibar daripada pengalaman pandemik COVID-19.
Beliau berkata, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan, manakala masa pembelajaran di bilik darjah yang hilang sukar diganti, terutama apabila akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbeza mengikut kemampuan murid.
Mengenai pelajar sekolah berasrama, Fadhlina berkata mereka dinasihatkan kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan akibat jerebu, tertakluk kepada keadaan yang selamat serta kebajikan mereka terjamin.