
KUALA LUMPUR, 3 Sep – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan perbelanjaan melebihi peruntukan ditetapkan sebagai tidak wajar dan boleh menjejaskan kewangan negara.
“Macam mana nak cukup kalau belanja lebih daripada peruntukan yang telah ditetapkan.
“Besar pasak daripada tiang. Jahanam negara macam ini,” katanya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dilaporkan berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membuat komitmen serta perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun lalu.
Johan berkata, perbelanjaan sebenar KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding RM1.1 bilion peruntukan diluluskan, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion berbanding RM1.3 bilion.
Pada 2025, perbelanjaan sebenar meningkat kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion peruntukan diluluskan. Bagi 2026 pula, RM2.1 bilion diperuntukkan dengan perbelanjaan setakat Jun lalu mencecah RM1.9 bilion.
Bagi menangani isu itu, Johan berkata Kementerian Kewangan bekerjasama dengan KKDW termasuk menyusun semula peruntukan berdasarkan keutamaan.
Bagaimanapun, KKDW menafikan dakwaan berbelanja melebihi peruntukan diluluskan dan menjelaskan pembayaran dibuat bagi memenuhi komitmen serta tunggakan projek era pandemik.
Kredit Foto: BERNAMA