
SEREMBAN, 18 Jul – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan gabungan itu tidak bertindak ‘menebuk atap’ di Negeri Sembilan, sebaliknya berhasrat membentuk pentadbiran baharu sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan di pusat penamaan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembau, sambil menyifatkan persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai langkah taktikal untuk merampas semula pentadbiran negeri.
“Insya-Allah Tok Mat, kita tak tebuk atap, kita buka atap baharu. Kita mahu kembalikan kerajaan negeri kepada BN dan memajukan semula negeri ini,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama dengan PN bukan berasaskan perjanjian rasmi, sebaliknya persefahaman politik yang diyakini mampu memperkukuh kedudukan BN selepas hanya memenangi 14 kerusi pada PRN 2023.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi meningkatkan peluang BN kembali mentadbir Negeri Sembilan, manakala PN bertanding di baki 11 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang tidak ditandingi BN.
Sementara itu, Mohamad yang mempertahankan kerusi DUN Rembau menyuarakan keyakinan BN mampu mengambil alih semula kerajaan negeri pada 1 Ogos ini.
“Dalam masa kempen ini, kita jangan sentuh kepentingan adat. Adat perlu kita hormati kerana adat ini bersendirian. Jangan kita campur adukkan dalam politik,” ujarnya.