
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berlangsung di Istana Negara, hari ini.
Wan Ahmad Farid, 63, menjadi penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ dalam istiadat yang disempurnakan Sultan Ibrahim dengan keberangkatan sama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut menerima pengiktirafan ialah jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang dikurniakan Darjah Bakti (DB), iaitu anugerah tertinggi negara sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangannya dalam arena sukan.
Pengurniaan itu turut mengiktiraf peranan beliau dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi pencapaian cemerlang dalam sukan berbasikal trek.
Secara keseluruhan seramai 161 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda tahun ini.
Kredit: Bernama