
KUALA LUMPUR, 14 Okt – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun susulan penahanan lima rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda,
Tokyo, pada 10 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Dato’ Hussein Omar Khan berkata, pasukan itu akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes berkenaan, termasuk mengenal pasti rangkaian sindiket dadah tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia ditahan selepas pihak Kastam Jepun menemukan kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut mereka.
Hussein berkata, semakan rekod perjalanan mendapati enam rakyat Malaysia berusia antara 19 hingga 26 tahun berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Haneda pada 9 Oktober lalu bagi tujuan melancong.
Kesemua enam mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun hanya lima daripada mereka ditahan, manakala seorang telah pulang ke Malaysia.
Pihak berkuasa Jepun juga sedang menyiasat sumber bekalan kokain serta mengenal pasti individu yang terlibat dalam rangkaian penyeludupan berkenaan.
Dalam pada itu, Hussein menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran percutian melibatkan permintaan membawa beg atau barangan milik orang lain ke luar negara yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.
Terdahulu, media Jepun melaporkan setiap suspek dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan 120 juta yen atau RM3.1 juta.